Mohd. Rashidi: Al-Quran, Ilmu Pengetahuan Dan Peradaban

Ucapan ini disampaikan sempena Seminar Studium Generale di Sekolah Tinggi Ilmu al-Quran dan Sains al-Ishlah (STIQSI) Lamongan pada 30/1/2023

Assalamualaikum dan salam Nusantara kepada semua yang hadir pada hari ini. Pertamanya saya berbesar hati menerima jemputan untuk menyampaikan syarahan di sini dengan temanya “Al-Quran, Ilmu Pengetahuan Dan Peradaban”.

Sesungguhnya silaturahmi yang terjalin di antara Malaysia-Indonesia ini bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya sudah sekian lamanya. Dalam dasawarsa ini, terjalinnya hubungan politik bagi menuntut kemerdekaan yang dipanggil semangat Melayu Raya dipelopori oleh sosok-sosok seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaakub, Soekarno dan Mohd Hatta. Dirakamkan oleh sejarah pada 1945 Soekarno dan Mohd Hatta pernah mengunjungi Taiping di utara Malaysia bagi pengisytiharan kemerdekaan.

Begitu juga dalam bidang keagamaan, Indonesia pernah meminjamkan 3 puteranya yang terbilang buat kami di Malaysia iaitu Syed Syeikh al Hadi, A. Hasan Bandung dan Prof. Tengku Hasbi as-Siddiqi. Al Hadi berkelana dari Pulau Penyengat ke Singapura, Melaka dan seterusnya ke Pulau Pinang bagi membuka Madrasah al Mashoor. A.Hasan Bandung pula seorang penulis tafsir al-Furqan dan menulis banyak kitab-kitab berkaitan fiqh dan merupakan seorang ahli debat yang ulung. Prof. Hasbi pula terkenal melalui tafsirnya iaitu al-Nur serta puluhan karyanya yang lain. Kesemua dari tulisan-tulisan itu memberikan kesan kepada umat Islam di negara kami sekitar tahun 70an-90an.

Tak kurang juga dalam konteks pemikiran moden yang mewarnai wacana di Malaysia seperti yang diutarakan oleh Amien Rais (Tauhid Sosial), Dr Munir Mulkhan (Islam Kiri), Kuntowijoyo (Sosial Profetik) dan Moeslim Abdul Rahman (Islam Transformatif). Tanpa dikesampingkan 2 nama besar seperti Cak Nur (Nurcholish Madjid) dan Gus Dur (Abdul Rahman Wahid).

Berada di sini semestinya menggembirakan saya untuk bersama-sama dengan para dosen dan santri. Ingatan saya apabila melihat para santri sekalian mengingatkan saya kepada nasihat yang diungkapkan oleh Imam Syafee (204H) iaitu ‘kamu tidak akan mendapatkan ilmu kecuali dengan 6 perkara iaitu zakaun (kecerdasan/kritis), hirsun (terus-menerus menuntut ilmu), ijtihadun (bersungguh-sungguh), bulghatun (kecukupan diri), irsyadun (bimbingan guru) dan tuluz zaman (masa yang panjang).

Al Imam Bukhari (256H) merupakan sosok ulama yang seharusnya dijadikan contohnya. Kesungguhannya di dalam ilmu itu bukanlah datang dengan tiba-tiba. Orang yang hebat datang dari guru yang hebat dan menghasilkan anak-anak murid yang hebat. Siapakah guru kepada Imam Bukhari? Beliau menuntut ilmu dengan guru-guru yang hebat seperti Imam Ahmad Bin Hanbal (241H), Yahya Bin Ma’in (233H), Ishaq Bin Rahawih (238H) dan Qutaibah Bin Said (240H). Dan diantara anak muridnya yang terbilang hasil didikan Imam Bukhari adalah Imam Termizi (279H) dan Imam Muslim (261H).

Zamaksyari (538H) juga tidak kurang gigihnya. Merupakan seorang mufassir yang cacat anggota tetapi disebutkan ketika beliau sudah tua beliau masih berkelana menuntut ilmu bagi mendalami kitab SIbawayh.

Maka ahli ilmu sangatlah besar peranannya terutama dalam memastikan agama Islam itu kelihatan relevan dan berjalan seiring dengan arus pembangunan moden. Nabi SAW sendiri telah menyebutkan akan ada golongan yang akan mencemarkan agama sekaligus menjadikan agama itu kelihatan buruk dan cacat. Inilah golongan tahril al ghalin, intahalul mubtilin dan takwil jahilin. (Hadis riwayat Ibnu Sunni dan Tohawi)

Munculnya golongan ekstremis dan pelampau agama sedikit sebanyak mewujudkan Islamofobia. Golongan ini sewenangnya menafsirkan agama dengan hawa nafsu demi matlamat kepentingan politik dan mengangkat golongan tertentu. Ada kelompok yang membawa jenama agama demi menarik sokongan dan menggunakan dalil al Quran al Hadis demi melahirkan pengikut yang taksub membabi buta. Akhirnya budaya takfiri (khawarij moden) berleluasa dan tidak mustahil pertumpahan darah dan peperangan bagi tempoh masa yang lama boleh berlaku seperti yang terjadi di sesebahagian negara Arab.

Walaupun agama tidak mengajarkan model politik pemerintahan yang wajib diikuti, tetapi sekurangnya al-Quran dan al-Hadis telah mengajarkan pirinsip-prinsip umum yang wajar diikuti. Prinsip keadilan, kesaksamaan, pengagihan ekonomi yang sama rata dan jaminan hak insan misalnya antara yang disebut oleh agama. Ibnu Taimiyah (728H) di dalam kitabnya Siasah Syariyyah juga menyebutkan apa yang penting dalam konsep pemerintahan itu adalah mencari pemimpin yang qawi (kuat/kompeten) dan amin (dipercayai). Al-Quran juga menyebutkan ‘Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia hendaklah kamu jalankannya dengan adil. (Surah al-Nisa’: 58)

Begitu juga agama mengajarkan konsep sedekah dan wakaf yang sunat serta zakat yang wajib. Ini konsep yang diajarkan bagi mewujudkan ekonomi sosial yang stabil dan adil. Al- Quran menyebutkan ‘Supaya harta negara itu tidak beredar dalam kalangan kamu saja’ (Surah al-Hasyr : 7). Banyak data menunjukkan gini coefficient yang tidak seimbang. Jurang miskin kaya yang melebar dan harta kekayaan negara hanya dimiliki oleh sebilangan individu sahaja. Ini sama di Malaysia mahupun di indonesia. Suatu yang malang juga sekiranya umat Islam beranggapan hidup beragama ni hanya sekadar solat, puasa dan ibadah persendirian saja tanpa ada kaitan dengan kehidupan sosial. Sudah pasti golongan ini tidak menghayati dari semangat Piagam Madinah yang tercatat di dalam sejarah.

Cabaran hari ini antaranya adalah bagaimana untuk mendamaikan akal dan wahyu. Seringkali diungkapkan seolah-olah keduanya datang dari kutub berbeza. Hakikatnya tidak begitu seperti disebutkan oleh Syeikh Rasyid Redha keduanya berkait rapat seperti mata dan cahaya. Mata sekiranya celik tetapi tidak ada cahaya tetap tidak mampu melihat. Cahaya kalau ada pun tetapi mata yang buta tetap tidak berguna. Begitulah keterkaitan antara keduanya, wahyu membimbing akal dan akal menghuraikan kehendak wahyu.

Dengan begitu banyak sekali ayat al-Quran menyuruh kita berfikir, ini menunjukkan peranan akal untuk berijtihad sangat penting sekali. Benarlah apa yang disebut oleh Muhammad Asad adapun al-Quran itu diturunkan bagi golongan yang berfikir (liqaumiy yatafakkarun). Maka mendepani suasana dunia moden yang kompleks hari ini memerlukan kekuatan dan keluasan ijtihad yang jitu. Banyak perkara yang tidak di zaman Nabi tetapi wujud pada hari ini seperti perbankan, insurans, pelaburan dan vaksin. Hakikatnya agama ini berinteraksi dengan sains moden. Maka apabila sesuatu ijtihad dikeluarkan, tidaklah hanya dirujuk kepada al-Quran dan al-Hadis saja tetapi memerlukan panduan dari ahli sains, ahli kimia, ahli teknologi dan pelbagai lagi. Pernah suatu ketika Nabi mencadangkan suatu teori panduan mengahwinkan anak pohon kurma. Maka panduan itu diikuti oleh sahabat yang menyebabkan pohon itu mati pula. Maka diungkapkan satu hadis yang mahsyur selepas itu ‘kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu’ (Hadis Imam Muslim).

by Ustaz Moh. Rashidi (Presiden Lestari Hikmah Malaysia)